Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Himpunan Kebangkitan Rakyat atau #HKR112 yang berlangsung hari ini ternyata memberi satu pengalaman dan perasaan baru buat aku dan aku percaya ramai rakan yang memperjuangkan keadilan di Malaysia turut berasa sedemikian. Aku bukanlah penulis blog politik yang mengulas segenap perkara, tetapi aku lebih suka berkongsi apa itu #HKR112 menerusi kaca mata aku sendiri. Perasaan yang bercampur membuai perasaan aku sendiri. Daripada bangga melihat kesungguhan segenap rakyat yang berjuang, sedih kerana rakyat sana sini ditindas, sehinggalah kebangkitan masyarakat majmuk yang membuang segala sentimen perbezaan bangsa dan agama. Maaflah, inilah Malaysia yang sebenar.
Aku memulakan perjalanan seawal jam 10.45 pagi dari Stesen LRT Gombak menuju ke Stesen LRT Pasar Seni. Di stesen itu, kelihatan ratusan masyarakat yang penuh semangat. Kami semua bagaikan satu. Tidak mengenali satu sama lain, namun berbalas senyuman membawa maksud 'jom berjuang' dan 'inilah masanya'. Hampir bertahun tidak menjejakkan kaki ke dalam tren, kali ini perasaannya sungguh berbeza. Beberapa lelaki berpangkat abang daripada aku menyapa setiap yang ada, termasuk sekumpulan gadis berbangsa Cina yang duduk di barisan bangku yang kududuk. Senyuman meniti di setiap bibir yang ada. Hampir 95% penumpang yang ada dalam gerabak sama adalah peserta #HKR112. Ada yang berbaju merah, hijau, hitam, kuning dan pelbagai lagi mengikut perjuangan.
Menghampiri stesen Pasar Seni, kelihatan lautan manusia sudah berkumpul lebih kurang jam 11.15 pagi di perkarangan Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai CM. Ketika itu bulu romaku meremang. Seperti tidak percaya yang #HKR112 bakal menjadi kenyataan. Terus terang aku sebak ketika itu. Adakah ini petanda awal yang perjuangan aku dan semua selama ini menjadi kenyataan? Adakah ini petanda PR bakal mengambil alih pentadbiran Malaysia. Namun aku menanam sedikit rasa negatif dalam diri, mungkin ini saja yang hadir. Sebenarnya memujuk hati agar tidak terlalu yakin.
Aku turun tren dan melangkah terus ke perkarangan CM. Sedikit terasa yang kakiku tidak berapa kuat langkahnya, memandangkan baru sebulan aku dibebaskan dari wad. Mujurlah aku sempat menelan sebiji Voltaren sebagai bekal tubuh. Aku yang berpakaian serba hitam terasa kekurangan sesuatu. Aku hanya berkasut dan berjam tangan merah. Terasa yang aku perlu mendapatkan sesuatu sebagai satu suntikan semangat sehinggalah ada rakan dari DAP menawarkan topi berwarna kuning berlogo PAS, DAP dan PKR. berharga RM10, aku tidak berfikir panjang lalu membelinya. Ini soal perjuangan, bukan soal wang ringgit yang harus diambil kira.
Ketika itu, aku sempat meninjau papan tanda dan kain rentang yang dibawa semua peserta #HKR112. Pelbagai permintaan dan usaha memandangkan perjuangan ini bukan untuk peserta saja, tetapi untuk generasi akan datang. Walaupun CM diketahui ramai adalah tempat berkumpulnya kaum wanita, namun yang lelaki turut berada di sana bagi memberi sokongan, yang aku kira tidak ubah seperti 'penjaga' kaum wanita. Bangganya aku bukan main. Bagaikan satu keluarga besar, langsung tidak mengira warna kulit. Masing-masing bertegur sapa bagaikan sudah akrab lama.
Setelah itu, aku meninjau di kawasan perniagaan. Sebelum ini riuh media kerajaan dan peniaga mengatakan perhimpunan sebegini menyebabkan mereka kerugian. Sehingga ada yang sanggup menayang punggung di hadapan rumah orang dek marah kerugian besar. Itu kata mereka. Tetapi ternyata gambar boleh bercerita dengan seribu perkara.
Selepas itu, aku sempat juga mengaminkan doa yang dibaca oleh petugas iaitu Unit Amal yang ditugaskan menjaga keselamatan dan segala-galanya. Aku sangat hormat mereka kerana tanpa mereka, pasti ada kejadian tidak diingini. Malah, bacaan doa itu walaupun sayup di telinga, aku dapat merasakan keikhlasan doanya. Semoga Allah merahmati mereka.
Selepas rakanku yang juga 'berkait rapat' dengan seorang pemimpin PR di Sabah tiba, aku meneruskan perjalan ke stadium. Sebelum itu aku ditemani dua rakan iaitu Azri dan Wan yang aku hubungi beberapa hari sebelumnya untuk bersama-sama. Namun, di pertengahan jalan, kami terpisah, hanya tinggal kami berdua. Aku sangat teruja sehingga lupa untuk merakam gambar. Tidak mengapalah, masih boleh dilihat menerusi gambar yang dirakamkan peserta lain bukan? Apa pun, terima kasih kepada Azri dan Wan kerana menunggu. Maaf kerana lupa mengucapkan salam sebelum terpisah.
Setibanya kami di stadium, apa yang aku lihat? Lautan manusia! Lihat gambar yang aku rakam tepat jam 1.54 tengahari.
Cuaca panas terik, namun tiada seorang pun yang berganjak. Tepat jam 2.00 petang, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Terus terang, tidak pernah aku rasakan semangat sebegini ketika mendendangkannya. Terasa 'inilah Malaysia'. Tepat jam 2.21 petang, gambar ini pula sempat kurakamkan.
Selepas itu, aku dan rakanku mula berjalan-jalan selepas penat berdiri. ketika itulah aku menghampiri seorang lelaki pertengahan usia berbangsa Cina yang memegang sepanduk Selamatkan Jalan Sultan. Dia memegang sepanduk itu tanpa menurunkannya, membuatkan hatiku tertanya-tanya, tidak penatkah dia? Tidak lenguhkah? namun apa yang aku lihat, dia benar-benar bersungguh-sungguh. Kutepuk bahunya, bertanya apakah perjuangan yang dia cuba laungkan.
Bermulalah ceritanya, menyatakan dia dan keluarganya sudah lama menetap di kawasan itu. Malah dia menunjukkan bukti kepada kami tiket keretapi yang dia simpan ketika mula-mula berhijrah. Menurutnya, pembinaan MRT di situ tidak mengendahkan permintaan penduduk di situ untuk mengambil jalan yang lebih baik tanpa merosakkan struktur kawasan itu.
Katanya, ahli bijak pandai di Malaysia sudah cukup bijak menjalankan pembinaan dalam memajukan kawasan tanpa mengusik bangunan bersejarah. Namun semuanya tinggal kenangan. Malangnya, aku tak tergerak hati bergambar bersamanya dan poster berkenaan.
Peserta #HKR112 bukanlah golongan tidak berotak. Kami juga rakyat Malaysia. Kami anak tempatan. Kami sayang Malaysia. Jadi kepada yang mudah dimomok dengan unsur iri hati, pandanglah cermin dan nilailah diri sendiri.
Corat coret selepas berakhirnya #HKR112..
Muslimat yang turut serta
Berbilang bangsa menuntut hak yang sama
Kembalikan Artikel 10!
Perjuangan demi kualiti hidup, bukan sekadar berpeluk tubuh
Menuntut pemeliharaan sungai di Baram, Sarawak agar tidak dijahanam dek kemajuan
Barisan semangat anak muda
Semangat anak Sarawak
Apabila anak Sabah tunjuk taring!
Suasana di pentas utama selepas himpunan selesai
Ada yang nak beri LIMA bintang untuk SPRM?
Lagi anak Sabah yang turut serta. Ini kalilah!
Solat Asar berjemaah, menangkis 'tweet' seorang artis yang kononnya baru berhijrah tetapi mempertikaikan ibadah peserta
Nampak 'familiar' wajah itu? Kurang pasti perjuangannya kerana mereka hanya berada di luar dan tidak turut serta di dalam
Gua caya juga sama lue!
Dengan selamba aku melaung, "Uncle, pandang sini sekejap!"
Terima kasih abang polis. Tapi kenapa duduk dalam 'pagar' je bang?