Tuesday, January 1, 2013
Selamat Tinggal 2012 Yang 'Tak Jadi Kiamat'!
Selamat tahun baru 2013.
Balik-balik semua manusia akan sibuk mengenang apa yang berlaku sepanjang tahun yang berlalu, dan tak kurang juga ada yang berangan menanam azam baru. Pada hal, azam lama pun belum tentu tercakap. Sama juga macam aku. banyak azam yang tak tercapai, dah nak buat azam baru juga. Tapi azam baru aku agak ringkas - aku nak cuba menulis blog sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tak perlu nak ulang zaman kegemilangan aku dalam arena blog ni. Aku sendiri tahu sejauh mana tahap penulisan aku kalau diasah. InsyaAllah akan bertambah tajam. Masuk bakul? Ada ker manusia yang tak pernah masuk bakul angkat sendiri. Bagi aku, orang yang ada keyakinan diri rendah saja yang tak akan masuk bakul.
Aku rasa baru hari ini aku ada rasa keyakinan diri sikit nak buat apa saja. Sejak diisytihar sebagai pesakit penghujung November 2012, dan dimasukkan ke wad berhari-hari seterusnya terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, memang aku rasa keyakinan diri sangat rendah. Segalanya harus dibantu. Duduk lama sikit, susah nak bangun. Berdiri lama sikit, pinggang sakit sampai mengaduh. Ramai yang tak tahu. Dan paling ramai yang langsung buat tak tahu dan tak mahu ambil tahu. Jadi, aku pun sama-sama buat tak tahu. Adil, bukan?
Bukan nak mengata, tapi sekarang baru aku tahu siapa aku pada mata mereka.
Tepat jam 12 tengah malam, berpusu-pusulah manusia khususnya remaja dan remaja 'purba' berkeliaran menikmati sambutan malam tahun baru. Aku sepatutnya ada tugas, tapi aku memang tak boleh. Aku tak ada SOCSO untuk menampung kos kalau aku kembali bertugas seperti biasa. Keadaan aku dah tak sama macam dulu. Ah, ketepikan soal kesakitan. Apa yang aku nak cerita, pasal kisah malam tahun baru. Ramai yang kata, atau mengata, mungkin terkata - sembilan bulan lagi, ramailah anak haram hasil benih yang tersemai pada malam tahun baru.
Eh, pandai mengata jer ker?
Persoalannya, siapa yang sepatutnya ambil kira atau cuba membuat kekangan mengenai perkara ini? Ibu bapa? Cikgu? Penghulu? Ketua Kampung? Tok Sidang? Atau tok-tok menteri yang sepatutnya menyediakan aktiviti khusus yang sihat sepanjang malam seperti ini?
Dah jadi macam budaya pulak, apabila malam tahun baru pasti ada yang nak 'bercucuk tanam'. Bagi aku perkara ini silap orang kita juga. Pernah dengar tak pasal 'terlalu percaya'? Begini, kita akan percaya sesuatu perkara walaupun perkara itu sebenarnya tak wujud pun. Jadi dek terlalu yakin dan percaya bahawa adanya 'anak tahun baru', perkara ini terjadi juga. Siapa yang menyebar ideologi ini? Orang kita juga.
Bukan nak mengata, tapi kadang-kadang aku rasa wujudnya budaya ini adalah disebabkan penyebaran maklumat tanpa tapisan. Yang tak tahu jadi tahu, dan mula mencuba. Heh.
Sehari dua menjelang tahun baru juga, hebohlah dunia huhahuha tanah air mengenai perkahwinan manusia popular dewasa ini. Aku malas nak menyebut siapa, kerana aku rasa apa yang berlaku hari ini seakan-akan de javu. Kepada yang tak faham, bolehlah rujuk di sini.
Beberapa tahun lalu, ada perkahwinan seorang lelaki yang popular berlangsung selepas putus tunang dengan wanita lain sebelumnya. Baik, sila tolak soal jodoh-pertemuan-di-tangan-Tuhan sebelum anda teruskan pembacaan.
Dah tolak?
Kalau belum, jangan teruskan membaca. kalau tidak, pastinya pendapat aku ditolak mentah-mentah. Jangan guna ayat 'macai' ye?
Baiklah. Isunya di sini, kenapa ada lelaki yang memilih wanita lain selepas bergelar? Kenapa 'tiada jodoh' selepas mengecap kejayaan, dan kenapa tak nampak lemah sana sini semasa belum bergelar seseorang?
Ada seorang makcik yang aku sangat kasihan. Suaminya adalah rakan sekerja mak aku. Makcik ni agak rapat dengan aku, apatah lagi arwah anaknya berkawan dengan aku dulu. Beberapa tahun selepas perkenalan aku dengan keluarga ini, Alhamdulillah rezeki mereka melimpah ruah sehingga mampu memiliki syarikat perladangan sendiri, dan makcik ini mampu membuka sebuah butik di kompleks membeli belah yang terkenal di Timur Semenanjung. Pendek kata, jari mereka tak cukup nak kira wang ringgit. Dalam pada itu, akhirnya suaminya berhenti kerja dan menguruskan syarikat perladangan mereka sendiri.
Selepas anaknya yang juga kawan aku meninggal kemalangan, suaminya mula lupa diri dan menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Malah, mengabaikan isterinya yang dulunya bersusah payah bersama. Kenapa ketika sudah berharta, wanginya ada pada bunga lain?
Berbalik kepada isu dua perkahwinan selebriti ini. Aku sebenarnya dapat merasai peritnya si bekas tunang. Entah mengapa aku rasa sangat terhiris. Mungkin aku mendalami setiap peristiwa yang mereka lalu. Cuba memasukkan diri ke dalam kasut mereka. Merasa sendiri busuk, hanyir, masam dan kelat kasut mereka itu.
Bukan nak mengata, tapi apa yang si lelaki ini fikir agaknya?
Aku cuba berlaku adil seketika...
"Kau mana tau, dia tu sebenarnya... (gitu gini gitu gini...)"
"Aku sayang dia, tapi nak buat macam mana... (gitu gini gitu gini...)"
Hei, alasan ini sepatutnya kau guna semasa sebelum kau ikat sebelah kaki wanita itu. Semasa kau bukan sesiapa. Semasa kau langsung tak dikenali khalayak. Semasa tiada yang memuja kau seolah-olah dewa (ini biasa berlaku di Malaysia. Klise. Aku pun sama. Mengaku saja.)
Bukan nak mengata, tapi kalau 'jadi apa apa' pada kerjaya anda kelak, memang saling tak tumpahlah!
Oh ye, kepada yang 'gembira' kerana 2012 tak jadi kiamat, usah terlalu gembira. Mungkin cerita kiamat diada-adakan puak itu bertujuan 'nanti mesti mereka lupa dan tidak percaya Hari Kiamat sekali gus hilang salah satu rukun imannya' apabila ramalan mereka tersasar jauh bagai anak panah tertusuk muka sendiri.
Bukan nak mengata, tapi ramai sangat yang gila budaya dan telahan asing yang bukan 'kita'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment