Saturday, January 12, 2013

HKR112 - Satu Detik Keramat



Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Himpunan Kebangkitan Rakyat atau #HKR112 yang berlangsung hari ini ternyata memberi satu pengalaman dan perasaan baru buat aku dan aku percaya ramai rakan yang memperjuangkan keadilan di Malaysia turut berasa sedemikian. Aku bukanlah penulis blog politik yang mengulas segenap perkara, tetapi aku lebih suka berkongsi apa itu #HKR112 menerusi kaca mata aku sendiri. Perasaan yang bercampur membuai perasaan aku sendiri. Daripada bangga melihat kesungguhan segenap rakyat yang berjuang, sedih kerana rakyat sana sini ditindas, sehinggalah kebangkitan masyarakat majmuk yang membuang segala sentimen perbezaan bangsa dan agama. Maaflah, inilah Malaysia yang sebenar.

Aku memulakan perjalanan seawal jam 10.45 pagi dari Stesen LRT Gombak menuju ke Stesen LRT Pasar Seni. Di stesen itu, kelihatan ratusan masyarakat yang penuh semangat. Kami semua bagaikan satu. Tidak mengenali satu sama lain, namun berbalas senyuman membawa maksud 'jom berjuang' dan 'inilah masanya'. Hampir bertahun tidak menjejakkan kaki ke dalam tren, kali ini perasaannya sungguh berbeza. Beberapa lelaki berpangkat abang daripada aku menyapa setiap yang ada, termasuk sekumpulan gadis berbangsa Cina yang duduk di barisan bangku yang kududuk. Senyuman meniti di setiap bibir yang ada. Hampir 95% penumpang yang ada dalam gerabak sama adalah peserta #HKR112. Ada yang berbaju merah, hijau, hitam, kuning dan pelbagai lagi mengikut perjuangan.





Menghampiri stesen Pasar Seni, kelihatan lautan manusia sudah berkumpul lebih kurang jam 11.15 pagi di perkarangan Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai CM. Ketika itu bulu romaku meremang. Seperti tidak percaya yang #HKR112 bakal menjadi kenyataan. Terus terang aku sebak ketika itu. Adakah ini petanda awal yang perjuangan aku dan semua selama ini menjadi kenyataan? Adakah ini petanda PR bakal mengambil alih pentadbiran Malaysia. Namun aku menanam sedikit rasa negatif dalam diri, mungkin ini saja yang hadir. Sebenarnya memujuk hati agar tidak terlalu yakin.


Aku turun tren dan melangkah terus ke perkarangan CM. Sedikit terasa yang kakiku tidak berapa kuat langkahnya, memandangkan baru sebulan aku dibebaskan dari wad. Mujurlah aku sempat menelan sebiji Voltaren sebagai bekal tubuh. Aku yang berpakaian serba hitam terasa kekurangan sesuatu. Aku hanya berkasut dan berjam tangan merah. Terasa yang aku perlu mendapatkan sesuatu sebagai satu suntikan semangat sehinggalah ada rakan dari DAP menawarkan topi berwarna kuning berlogo PAS, DAP dan PKR. berharga RM10, aku tidak berfikir panjang lalu membelinya. Ini soal perjuangan, bukan soal wang ringgit yang harus diambil kira.




Ketika itu, aku sempat meninjau papan tanda dan kain rentang yang dibawa semua peserta #HKR112. Pelbagai permintaan dan usaha memandangkan perjuangan ini bukan untuk peserta saja, tetapi untuk generasi akan datang. Walaupun CM diketahui ramai adalah tempat berkumpulnya kaum wanita, namun yang lelaki turut berada di sana bagi memberi sokongan, yang aku kira tidak ubah seperti 'penjaga' kaum wanita. Bangganya aku bukan main. Bagaikan satu keluarga besar, langsung tidak mengira warna kulit. Masing-masing bertegur sapa bagaikan sudah akrab lama.



Setelah itu, aku meninjau di kawasan perniagaan. Sebelum ini riuh media kerajaan dan peniaga mengatakan perhimpunan sebegini menyebabkan mereka kerugian. Sehingga ada yang sanggup menayang punggung di hadapan rumah orang dek marah kerugian besar. Itu kata mereka. Tetapi ternyata gambar boleh bercerita dengan seribu perkara. 



Selepas itu, aku sempat juga mengaminkan doa yang dibaca oleh petugas iaitu Unit Amal yang ditugaskan menjaga keselamatan dan segala-galanya. Aku sangat hormat mereka kerana tanpa mereka, pasti ada kejadian tidak diingini. Malah, bacaan doa itu walaupun sayup di telinga, aku dapat merasakan keikhlasan doanya. Semoga Allah merahmati mereka.


Selepas rakanku yang juga 'berkait rapat' dengan seorang pemimpin PR di Sabah tiba, aku meneruskan perjalan ke stadium. Sebelum itu aku ditemani dua rakan iaitu Azri dan Wan yang aku hubungi beberapa hari sebelumnya untuk bersama-sama. Namun, di pertengahan jalan, kami terpisah, hanya tinggal kami berdua. Aku sangat teruja sehingga lupa untuk merakam gambar. Tidak mengapalah, masih boleh dilihat menerusi gambar yang dirakamkan peserta lain bukan? Apa pun, terima kasih kepada Azri dan Wan kerana menunggu. Maaf kerana lupa mengucapkan salam sebelum terpisah.

Setibanya kami di stadium, apa yang aku lihat? Lautan manusia! Lihat gambar yang aku rakam tepat jam 1.54 tengahari.


Cuaca panas terik, namun tiada seorang pun yang berganjak. Tepat jam 2.00 petang, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Terus terang, tidak pernah aku rasakan semangat sebegini ketika mendendangkannya. Terasa 'inilah Malaysia'. Tepat jam 2.21 petang, gambar ini pula sempat kurakamkan.


Selepas itu, aku dan rakanku mula berjalan-jalan selepas penat berdiri. ketika itulah aku menghampiri seorang lelaki pertengahan usia berbangsa Cina yang memegang sepanduk Selamatkan Jalan Sultan. Dia memegang sepanduk itu tanpa menurunkannya, membuatkan hatiku tertanya-tanya, tidak penatkah dia? Tidak lenguhkah? namun apa yang aku lihat, dia benar-benar bersungguh-sungguh. Kutepuk bahunya, bertanya apakah perjuangan yang dia cuba laungkan. 

Bermulalah ceritanya, menyatakan dia dan keluarganya  sudah lama menetap di kawasan itu. Malah dia menunjukkan bukti kepada kami tiket keretapi yang dia simpan ketika mula-mula berhijrah. Menurutnya, pembinaan MRT di situ tidak mengendahkan permintaan penduduk di situ untuk mengambil jalan yang lebih baik tanpa merosakkan struktur kawasan itu. 

Katanya, ahli bijak pandai di Malaysia sudah cukup bijak menjalankan pembinaan dalam memajukan kawasan tanpa mengusik bangunan bersejarah. Namun semuanya tinggal kenangan. Malangnya, aku tak tergerak hati bergambar bersamanya dan poster berkenaan.




Rakyat sebenarnya boleh menilai apakah #HKR112 ini berjaya atau tidak. Berdasarkan pemerhatian mata dan kepala (bukan dari lensa kamera video TV3), renungkanlah sejenak. Apakah ini yang dinamakan gagal? Jika sejak Bersih, Bersih 2.0 seterusnya Bersih 3.0 diberikan peluang tanpa sebarang provokasi atau ancaman, pastinya berlaku secara aman.

Peserta #HKR112 bukanlah golongan tidak berotak. Kami juga rakyat Malaysia. Kami anak tempatan. Kami sayang Malaysia. Jadi kepada yang mudah dimomok dengan unsur iri hati, pandanglah cermin dan nilailah diri sendiri.


Corat coret selepas berakhirnya #HKR112..

Muslimat yang turut serta

 Berbilang bangsa menuntut hak yang sama

Kembalikan Artikel 10! 

 Perjuangan demi kualiti hidup, bukan sekadar berpeluk tubuh

 Menuntut pemeliharaan sungai di Baram, Sarawak agar tidak dijahanam dek kemajuan

 Barisan semangat anak muda

 Semangat anak Sarawak

 Apabila anak Sabah tunjuk taring!

 Suasana di pentas utama selepas himpunan selesai

 Ada yang nak beri LIMA bintang untuk SPRM?

 Lagi anak Sabah yang turut serta. Ini kalilah!

 Solat Asar berjemaah, menangkis 'tweet' seorang artis yang kononnya baru berhijrah tetapi mempertikaikan ibadah peserta

 Nampak 'familiar' wajah itu? Kurang pasti perjuangannya kerana mereka hanya berada di luar dan tidak turut serta di dalam

 Gua caya juga sama lue!

 Dengan selamba aku melaung, "Uncle, pandang sini sekejap!"

Terima kasih abang polis. Tapi kenapa duduk dalam 'pagar' je bang?

Friday, January 4, 2013

Apabila Syaitan Menangis

Salam sejahtera ke atas kamu kepada sesiapa saja yang menyinggah di blog ini.

Baru sebentar tadi aku menyaksikan rancangan Raikan Cinta yang ditayangkan di Astro Ria. Seronok pula apabila melihat orang melangsungkan perkahwinan. Aku sememangnya sejak kecil sukakan perkahwinan. Kemeriahan orang ramai bekerjasama, hiasan pelamin yang pelbagai bentuk, dan busana pengantin yang masing-masing tak mahu kalah.

Baiklah, apa yang aku nak sembangkan kali ini ialah berkenaan soal usia ketika berkahwin. Sedikit masa dulu, aku sering membangkang apabila ada pasangan berkahwin terlalu muda. Namun, kedewasaan aku mengajar sesuatu bahawa perkahwinan ini sangat penting, apatah lagi sejak akhir-akhir ini terlalu banyak maksiat dan kejadian salah yang dilakukan kebanyakan masyarakat. Di sini aku bukan mahu berlagak baik sementelah aku juga manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

Sebagai contoh, ramai yang meluahkan rasa tak puas hati apabila pasangan Syafiq, 16, dan isterinya, Yana, 14, berkahwin. Macam-macam tuduhan dan rasa kurang senang dilemparkan. Sedangkan, syaitan menangis tak ingat dunia apabila pasangan anak Adam disatukan.


Tahniah Syafiq dan Yana!

Dengan peningkatan daya teknologi zaman kini, masalah sosial semakin meruncing. Lelaki dan wanita mudah diketemukan dalam dunia maya. Tiada lagi rasa malu untuk 'menawarkan' tubuh badan. Sememangnya tiada. Kemudahan memperoleh sumber pornografi juga mengundang 'ilmu jimak' yang kebanyakannya bukan diwarisi turun temurun. Tanpa perlu memberi salam, si lelaki terus menerjah si wanita tanpa adab. Lebih teruk, yang dikatakan ini bukan saja antara suami dan isteri, malah turut dipraktik 'rakan seksual' mahu pun sesi 'sentuh dan pergi'.

Jika dahulu kaum wanita sangat malu untuk bercakap secara terbuka mengenai pengalaman seksual, gadis masa kini dengan bangga bercerita seolah-olah hubungan seks sebelum perkahwinan adalah perkara biasa. Lebih parah, ada yang bercerita sesama sendiri mengenai kehebatan atau kekurangan lelaki yang pernah 'diguna'. Dari segi 'saiz', sehinggalah 'berapa lama' dan kedudukan tahi lalat yang tersembunyi di sebalik kain, semuanya dikongsi tanpa sebarang masalah. Jadi wahai lelaki, jangan ingat anda juga bebas. Mungkin ramai yang mengetahui 'apa anda ada' tanpa perlu disentuh!

Bukan nak mengata, tetapi ingatlah maruah lelaki juga seharga dengan selaput yang dimiliki wanita.

Masih lagi soal perkahwinan, aku sering kali mempersoalkan mengenai upacara pernikahan yang sering kali 'disusahkan' oleh pihak saksi. Aku ingin menyentuh mengenai rukun nikah, iaitu suami, isteri, wali, saksi dan akad. Perkara ini wajib ada untuk bernikah. Tetapi, apa yang aku nampak, yang paling banyak 'kuasa' ketika lafaz ijab dan kabul ialah saksi. Seolah-olah frasa 'sah' itu dipunyai mereka semata-mata tanpa memikirkan impak terhadap si suami yang ketika itu gementar.

Apa yang aku tahu, proses ijab kabul ini adalah perkara yang sepatutnya dipermudahkan. Paling penting, difahami semua. Dan setiap kata-kata adalah jelas dan tidak lari daripada maksud asal. Masakan tidak, hanya kerana tertinggal satu patah boleh menjadi satu soal besar. Aku beri contoh:

"Aku nikahkan dikau dengan si polan binti si polan dengan mas kahwinnya RM22.50, tunai."

dan disambut...

"Aku terima nikahNYA si polan dengan si polan dengan mas kahwin RM22.50, tunai."

Sah?

Oh, tak sah kata seorang saksi. Kenapa? Kerana tak boleh ditambah NYA selepas perkataan nikah.

Sah?

Oh, tak sah kata saksi seorang lagi. Kenapa? Kerana tak disambut dengan satu nafas.

Woi!

Hadis mana yang mereka pakai? Boleh tolong jawab? Setahu aku, lafaz ijab dan kabul mesti jelas dan membawa maksud yang juga jelas. Malah, yang paling penting, tiada paksaan dalam ijab dan kabul. Jangan sampai pengantin lelaki ada rasa terpaksa dan semakin resah sehingga langsung terganggu fikirannya. 

Bukan nak mengata bangsa sendiri, tetapi aku rasa Melayu saja yang suka buat 'kerja-kerja' macam ni. Lebih suka syaitan bergembira daripada menangis dengan segera!

Wednesday, January 2, 2013

Senangkah Jadi Komposer?

Suka dengar lagu? Suka muat turun lagu, beli lagu dan sebagainya? Bagaimana pula anda menilai sesebuah lagu? Perkara ini sebenarnya subjektif. Namun apa yang aku nak tekankan di sini ialah sejauh mana seorang komposer atau pencipta lagu dapat menghasilkan sebuah karya yang benar-benar berbeza.

Muzik ini sebenarnya makanan rohani. Kalau iman dan amal kita dianggap seperti hidangan makan tengahari atau makan malam, muzik bolehlah dikira sebagai snek, atau makanan rapu seperti kerepek kentang mahu pun maruku. Tetapi bagaimanakah seorang komposer dapat menghasilkan lagu yang berbeza dengan penghasilan daripada pencipta lain. Bayangkan seorang komposer perlu melahirkan kraf muzik berbeza dengan hasil komposer daripada 196 negara lagi di dunia. Jika tidak, hasil usahanya boleh dianggap plagiat.

Hukuman plagiat iaitu melanggar hak cipta boleh digunapakai dalam situasi ini - Jika sesebuah lagu yang sama melodinya dengan lagu asal diambil melebihi lapan bar, barulah menjadi kesalahan dan pemegang hak cipta sesebuah lagu boleh ambil tindakan mahkamah.

Apa kata dengar video selingan ini sebentar...


Abaikan penyanyinya, tetapi kaji strukturnya. Ada yang terdetik di fikiran anda?

Memang benar bukan mudah mencipta lagu, apatah lagi dengan 'do-re-mi-fa-so-la-ti-do' saja anda harus mencipta lagu yang berbeza daripada yang pernah wujud di dunia. Sukar bukan? Jadi jangan terkejut jika penggiat seni mengenakan bayaran mahal kepada khalayak untuk muncul dengan hasil usahanya. Bukan mudah.

Namun, dalam kemelesetan idea dan kekangan masa (mungkin), jangan sesekali lakukan seperti yang bakal anda dengar dalam dua video selingan seterusnya.





Macam mana? Puas hati?

Jadi, jika ada rakan penyanyi yang nakkan lagu, pandai pandailah berfikir dan usah jadi mangsa komposer kangkung yang tak bertanggungjawab. Jangan benarkan anda menjadi mangsa.

Bukan nak mengata, tapi rasa macam malu nak mengaku kita ada 'komposer' hebat yang 'bijak berlakon' sehingga lagu berkenaan diangkat sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 2006 atau 2007 lalu.

Baik jadi pelakon jer bang, bawa watak Hang Cangkul!

Tuesday, January 1, 2013

Selamat Tinggal 2012 Yang 'Tak Jadi Kiamat'!



Selamat tahun baru 2013.

Balik-balik semua manusia akan sibuk mengenang apa yang berlaku sepanjang tahun yang berlalu, dan tak kurang juga ada yang berangan menanam azam baru. Pada hal, azam lama pun belum tentu tercakap. Sama juga macam aku. banyak azam yang tak tercapai, dah nak buat azam baru juga. Tapi azam baru aku agak ringkas - aku nak cuba menulis blog sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tak perlu nak ulang zaman kegemilangan aku dalam arena blog ni. Aku sendiri tahu sejauh mana tahap penulisan aku kalau diasah. InsyaAllah akan bertambah tajam. Masuk bakul? Ada ker manusia yang tak pernah masuk bakul angkat sendiri. Bagi aku, orang yang ada keyakinan diri rendah saja yang tak akan masuk bakul.

Aku rasa baru hari ini aku ada rasa keyakinan diri sikit nak buat apa saja. Sejak diisytihar sebagai pesakit penghujung November 2012, dan dimasukkan ke wad berhari-hari seterusnya terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, memang aku rasa keyakinan diri sangat rendah. Segalanya harus dibantu. Duduk lama sikit, susah nak bangun. Berdiri lama sikit, pinggang sakit sampai mengaduh. Ramai yang tak tahu. Dan paling ramai yang langsung buat tak tahu dan tak mahu ambil tahu. Jadi, aku pun sama-sama buat tak tahu. Adil, bukan?

Bukan nak mengata, tapi sekarang baru aku tahu siapa aku pada mata mereka.

Tepat jam 12 tengah malam, berpusu-pusulah manusia khususnya remaja dan remaja 'purba' berkeliaran menikmati sambutan malam tahun baru. Aku sepatutnya ada tugas, tapi aku memang tak boleh. Aku tak ada SOCSO untuk menampung kos kalau aku kembali bertugas seperti biasa. Keadaan aku dah tak sama macam dulu. Ah, ketepikan soal kesakitan. Apa yang aku nak cerita, pasal kisah malam tahun baru. Ramai yang kata, atau mengata, mungkin terkata - sembilan bulan lagi, ramailah anak haram hasil benih yang tersemai pada malam tahun baru.



Eh, pandai mengata jer ker?

Persoalannya, siapa yang sepatutnya ambil kira atau cuba membuat kekangan mengenai perkara ini? Ibu bapa? Cikgu? Penghulu? Ketua Kampung? Tok Sidang? Atau tok-tok menteri yang sepatutnya menyediakan aktiviti khusus yang sihat sepanjang malam seperti ini?

Dah jadi macam budaya pulak, apabila malam tahun baru pasti ada yang nak 'bercucuk tanam'. Bagi aku perkara ini silap orang kita juga. Pernah dengar tak pasal 'terlalu percaya'? Begini, kita akan percaya sesuatu perkara walaupun perkara itu sebenarnya tak wujud pun. Jadi dek terlalu yakin dan percaya bahawa adanya 'anak tahun baru', perkara ini terjadi juga. Siapa yang menyebar ideologi ini? Orang kita juga.

Bukan nak mengata, tapi kadang-kadang aku rasa wujudnya budaya ini adalah disebabkan penyebaran maklumat tanpa tapisan. Yang tak tahu jadi tahu, dan mula mencuba. Heh.

Sehari dua menjelang tahun baru juga, hebohlah dunia huhahuha tanah air mengenai perkahwinan manusia popular dewasa ini. Aku malas nak menyebut siapa, kerana aku rasa apa yang berlaku hari ini seakan-akan de javu. Kepada yang tak faham, bolehlah rujuk di sini.

Beberapa tahun lalu, ada perkahwinan seorang lelaki yang popular berlangsung selepas putus tunang dengan wanita lain sebelumnya. Baik, sila tolak soal jodoh-pertemuan-di-tangan-Tuhan sebelum anda teruskan pembacaan.

Dah tolak?

Kalau belum, jangan teruskan membaca. kalau tidak, pastinya pendapat aku ditolak mentah-mentah. Jangan guna ayat 'macai' ye?

Baiklah. Isunya di sini, kenapa ada lelaki yang memilih wanita lain selepas bergelar? Kenapa 'tiada jodoh' selepas mengecap kejayaan, dan kenapa tak nampak lemah sana sini semasa belum bergelar seseorang?

Ada seorang makcik yang aku sangat kasihan. Suaminya adalah rakan sekerja mak aku. Makcik ni agak rapat dengan aku, apatah lagi arwah anaknya berkawan dengan aku dulu. Beberapa tahun selepas perkenalan aku dengan keluarga ini, Alhamdulillah rezeki mereka melimpah ruah sehingga mampu memiliki syarikat perladangan sendiri, dan makcik ini mampu membuka sebuah butik di kompleks membeli belah yang terkenal di Timur Semenanjung. Pendek kata, jari mereka tak cukup nak kira wang ringgit. Dalam pada itu, akhirnya suaminya berhenti kerja dan menguruskan syarikat perladangan mereka sendiri.



Selepas anaknya yang juga kawan aku meninggal kemalangan, suaminya mula lupa diri dan menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Malah, mengabaikan isterinya yang dulunya bersusah payah bersama. Kenapa ketika sudah berharta, wanginya ada pada bunga lain?

Berbalik kepada isu dua perkahwinan selebriti ini. Aku sebenarnya dapat merasai peritnya si bekas tunang. Entah mengapa aku rasa sangat terhiris. Mungkin aku mendalami setiap peristiwa yang mereka lalu. Cuba memasukkan diri ke dalam kasut mereka. Merasa sendiri busuk, hanyir, masam dan kelat kasut mereka itu.



Bukan nak mengata, tapi apa yang si lelaki ini fikir agaknya?

Aku cuba berlaku adil seketika...

"Kau mana tau, dia tu sebenarnya... (gitu gini gitu gini...)"

"Aku sayang dia, tapi nak buat macam mana... (gitu gini gitu gini...)"

Hei, alasan ini sepatutnya kau guna semasa sebelum kau ikat sebelah kaki wanita itu. Semasa kau bukan sesiapa. Semasa kau langsung tak dikenali khalayak. Semasa tiada yang memuja kau seolah-olah dewa (ini biasa berlaku di Malaysia. Klise. Aku pun sama. Mengaku saja.)

Bukan nak mengata, tapi kalau 'jadi apa apa' pada kerjaya anda kelak, memang saling tak tumpahlah!

Oh ye, kepada yang 'gembira' kerana 2012 tak jadi kiamat, usah terlalu gembira. Mungkin cerita kiamat diada-adakan puak itu bertujuan 'nanti mesti mereka lupa dan tidak percaya Hari Kiamat sekali gus hilang salah satu rukun imannya' apabila ramalan mereka tersasar jauh bagai anak panah tertusuk muka sendiri.



Bukan nak mengata, tapi ramai sangat yang gila budaya dan telahan asing yang bukan 'kita'.